"Bad, i dapat surat panggilan interview dari AG" kataku padanya. Masa itu aku masih lagi bekerja di sebuah firma guaman di Damansara Perdana sekitar tahun 2005. Badariah adalah rakan sekerja ku. Kami rapat memandangkan firma tu pun tak la sebesar mana. Ada boss dan aku sebagai peguam dan Bad sebagai Pelatih Dalam Kamar. Banyak kenangan kami bersama kat sana terutama bab-bab yang tak langsung melibatkan kerja dan perundangan. Majikanku masa tu ada banyak masalah dengan rumahtangga sehingga terbawa-bawa ke ofis. Aku dan Bad kadang-kadang terpaksa jadi pendengar setia masalah mereka suami isteri. Sayang sebenarnya sebab kalau diikutkan bos ku tu bijak dan berkaliber orangnya. Masa tu firma aku mengkhusus dalam undang-undang maritim. Tak banyak firma yang mempunyai kepakaran dalam bidang tu. Tapi disebabkan masalah rumahtangganya firma pun jadi tunggang terbalik. Jadi aku rasa demi masa depan aku harus segera move on mencari kerjaya baru.
Sebenarnya berat hati juga nak isi borang SPA tu. Aku graduan UM jadi memang mentaliti kami adalah kerja gomen ni sebagai pilihan terakhir. Rata-rata kami semua ingin menjadi peguam selepas grad. Aku selalu kata kat kawan-kawan dalam servis bila ditanya kenapa tak ramai graduan UM masuk servis - "sebab kami semua mata duitan" hehehehe. Mungkin ada kebenarannya sebab kerja gomen masa tu takla menjanjikan pulangan yang lumayan jika dibandingkan dengan sektor swasta. Sesetengah firma besar seperti Lee Hishamuddin menawarkan sehingga RM2,500 sebagai gaji permulaan. Cuba pula bandingkan dengan kerja gomen yang starting rm1,800 sahaja. Tapi setelah hampir 2 tahun aku bekerja sebagai peguam aku sedar yang duit bukanlah segalanya. Kepuasan dalam kerjaya juga penting dan aku juga tak mahu jadi hamba pada kerja seperti sesetengah kawan-kawan yang bekerja sampai larut malam setiap hari mengejar target. Di firma-firma besar mereka ada profit target setiap bulan-misalannya jika kamu dibayar RM3,000, kamu dikehendaki bawak balik profit kepada firma mungkin rm6,000 atau RM9,000 setiap bulan kepada firma. Malah sesetengah firma menyediakan makan malam kepada peguam-peguam mereka sebab mereka memang di expect untuk stay up dan habiskan kerja. Malah balik kerja pukul 6 tu dianggap dosa besar dan kamu akan dicap malas. Kadang-kadang bukan ada kerja pun tapi disebabkan persepsi begitu ramai yang terpaksa berpura-pura buat kerja di depan PC sehingga lewat hari walhal mungkin mereka cuma bermain solitaire atau melayar internet.
Aku juga pemegang biasiswa JPA dan terikat untuk berkhidmat dengan kerajaan selama 7 tahun. Lagipun ibu bapaku memang cukup suka jika aku masuk berkhidmat dengan kerajaan. Terjamin kata mereka. "Kerja Loyer pun duit selalu je takde tiap bulan"-teringat kata-kata mak aku hehehe. Sebenarnya kalau ikutkan aku bercita-cita nak masuk pasukan polis seperti ayahku. Malah aku dah beritahu pun mak aku aku nak apply untuk masuk ASP percubaan. Tapi ayahku telah memveto keputusanku. Dia kata -"kau nak kerja apa pun takpe cuma kalau boleh jangan masuk polis. Kerja teruk 24 jam. Harapkan gah berpaku je tapi setakat tu je la". Aku sangat bersyukur sebab jadi anak yang baik dan mengikut kata masa tu. Memang setelah masuk gomen, aku lihat memang kerja polis ni kerja yang thankless. Kau buat baik orang tak nampak tapi sekali kau buat silap memang akan datangla caci maki dari setiap sudut-dari ketua sendiri, dari pihak pendakwaan, dari mahkamah, dari orang ramai. Kerja 25 jam sehari dan bukan boleh claim overtime pun. Kalau isteri tak sabar dan memahami memang porak peranda la rumahtangga. Anak-anak pun kadang-kadang terabai pasal masa mereka berjaga kamu tidur dan bila mereka tidur kamu bekerja. Tapi apapun, bagi mereka yang berseragam biru dan bekerja dengan ikhlas demi nusa dan bangsa, aku salut kamu semua.
Aiseh, dah melencong jauh ni...aku sebenarnya nak cerita benda lain. Tapi takpela sebagai mukadimah hehehe. Sambung perbualan aku dengan Bad tadi. Bad kata kat aku -"oh bagusla, nanti boleh jumpa kawan i L. Dia baik tau n friendly". Masa tu aku hanya sekadar mengangguk sahaja. Takdela pulak terdetik nak tahu lebih lanjut sapa L ni. Sekadar mengiyakan saja kata-kata Bad tu. Tak sangka rupa-rupanya L ini bakal merubah hidup aku selamanya...
Alhamdulillah aku lepas interview dan dengan berat hati aku mengucapkan selamat tinggal pada Bad dan mula bertugas di Putrajaya. Aku juga cukup gembira ditempatkan di bahagian pendakwaan kerana minat aku memang menjurus pada undang-undang jenayah. Batch aku tak silap aku ada lebih kurang 20+ masa tu. Memang kebiasaannya pegawai-pegawai baru akan ditempatkan di Putrajaya terlebih dahulu sementara menunggu perintah posting.
Di situlah pertama kali aku jumpa L. Dia masuk lebih dulu dari kami lebih kurang sebulan dalam batch yang lain. Pertama kali jumpa aku takdela rasa apa-apa yang luar biasa. Tapi aku suka dengan senyumannya yang manis sekali. Memang aku akui masa tu aku berhati keras, susah nak suka kat orang. Pengalaman lalu mengajar aku agar jangan mudah menyerahkan hati pada orang lain. Lagipun masa tu aku baru mula pulih dari kekecewaan lepas.
Takdir dan kuasa tuhan akhirnya membuka hati aku pada L. Aku tak percaya pada cinta pandang pertama. Bagi aku sebelum cinta itu berputik, aku harus serasi sebagai kawan dengannya terlebih dahulu. Bila dah selesa dan kenal hati budinya barula rasa sayang itu akan datang. Kekasihku seharusnya kawan aku yang paling baik. Itu aku. Ramai yang kata approach aku salah dan aku akui ada kebenarannya. Seseorang yang rapat denganku selalu kata-"perempuan itu tidak kompleks. Cuma lelaki saja yang tak nampak. Tapi yang pasti bila seseorang perempuan dah anggap seseorang lelaki itu sebagai kawan susah dia nak pergi lebih jauh dalam perhubungan."
Kenapa ye aku suka dan sayang padanya. Aku sebenarnya tak tahu bagaimana nak menjawab persoalan tu. Selalu orang kata kalau kau boleh jelaskan kenapa kau cintakan seseorang, maka itu bukan cinta namanya. Entahla, yang pasti aku amat selesa dengan dia. Dia adalah seorang yang sangat peramah. Malah boleh bercakap tanpa henti berjam-jam dan aku tak pernah bosan mendengarnya. Dia bijak orangnya, boleh bercerita isu-isu politik semasa dengan lancar dan pada masa yang sama boleh juga bercerita pasal gosip-gosip hiburan terkini. Dia juga peminat bolasepak, satu kualiti yang jarang ada pada seorg perempuan yang kalau mengaku minat pada bolasepakpun tapi mereka sebenarnya minat pada segaknya David Beckham atau cutenya Michael Owen. Walaupun dia minat pada pasukan yang aku cukup menyampah iaitu Manchester United dan aku pula peminat setia pasukan the Reds, tapi itu tidak menjadi isu besar hehe. Selain tu aku lihat dia ni solehah orangnya walaupun pendiriannya mungkin liberal. Tak tinggal sembahyang dan utuh pegangan agamanya. Seseorang yang liberal pemikirannya tetapi pada masa yang sama konservatif dari segi agama dan budaya. Susah bukan nak cari yang sebegitu?. Seperkara lagi aku kagum dengannya yang tabah dan walaupun pelbagai masalah melandanya masa itu. Dia juga seorang yang keras hati dan teguh pendirian dan kadang-kadang aku rasa insensitive tapi aku tahu dia ambil berat tentang orang sekeliling.Mungkin itu sekadar facade atau defense mechanism bagi dirinya.
Dari sekadar kawan biasa aku mula rasa rindu padanya. Sejak bila aku tak pasti tapi yang pastinya semenjak kami masih di Putrajaya. Aku selalu ternanti-nanti kehadirannya setiap pagi. Tak sabar nak tengok senyuman dan berbicara dengannya. Aku juga setiap hari memikirkan apa alasan untuk menjengahnya di bilik. Kami masa tu ditempatkan di bilik berbeza dalam ofis yang sama.
(bersambung...)